Monday 11 April 2011

Suspek culik dan rogol gadis sunti direman seminggu


ALOR SETAR: Mahkamah Majistret, di sini, semalam mengeluarkan perintah reman selama seminggu terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun yang didakwa menculik dua beradik perempuan termasuk mengadakan hubungan seks dengan seorang daripada mereka yang berusia 14 tahun.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret, Datin Chan Lee Fong bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu. Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di mahkamah dengan kenderaan polis kira-kira jam 10 pagi, sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

“Suspek juga didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


“Kes ini akan disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan IPD Pendang kerana kejadian melarikan kedua-dua gadis itu berlaku di sini, manakala perbuatan rogol itu didakwa berlaku di Pendang.


“Polis akan melengkapkan kertas siasatan kes ini sebelum mengemukakannya kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam Harian Metro melaporkan dua beradik perempuan berumur 13 dan 12 tahun bukan saja melalui detik mencemaskan apabila dilarikan seorang lelaki lebih 17 jam, malah seorang daripada mangsa dipercayai dirogol sebelum diselamatkan bapa mereka keesokan harinya.


Sebelum kejadian culik itu, kedua-dua mangsa berjalan untuk pergi ke sebuah kedai berhampiran rumah mereka di Kampung Perepet, Kota Sarang Semut, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin apabila didatangi seorang lelaki berusia 20-an yang menaiki sebuah Perodua Kancil berwarna perak.

Lelaki itu menarik tangan kedua-dua mangsa masuk ke dalam keretanya dan melarikan mereka ke Yan untuk menemui rakan suspek.


Mangsa merayu suspek supaya menghantar mereka pulang, bagaimanapun suspek enggan berbuat demikian sebaliknya suspek membawa mangsa meronda-ronda sekitar pantai di Kuala Sala dan Pendang.


Difahamkan seorang daripada mangsa dirogol suspek ketika mereka berhenti tidur di dalam kereta di Tokai, Pendang.


Bagaimanapun, dua beradik itu diselamatkan bapa mereka yang melihat kelibat dua anaknya dalam kereta dipandu suspek di Simpang Empat, Kuala Sala pada jam 10 pagi kelmarin, ketika mencari mereka dengan menunggang motosikal.


sumber:harian metro

No comments:

Post a Comment