Thursday 17 March 2011

Enam ditahan berhubung kes curi kondom

IPOH – Polis percaya telah menyelesaikan kes kehilangan kondom bernilai RM850,000 yang dilaporkan hilang pada 25 Januari lalu berikutan tertangkapnya enam lelaki dan penemuan semula barangan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan berkata, enam lelaki yang ditahan itu berusia 23 hingga 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori, buruh am dan kerja sambilan.

Mereka ditahan pada 15 Februari lalu di sini, Bidor, Batu Gajah serta di Puchong dan Klang, Selangor.

"Hasil daripada pemeriksaan polis kemudiannya menemui 258 kotak berisi kondom di sebuah rumah di Puchong dan sebuah gudang di Klang, Selangor yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan tersebut sementara menunggu pembeli,” kata Shukri pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tiga daripada lelaki berkenaan pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan lampau.

Beliau berkata, empat daripada mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin polis manakala dua lagi masih direman sehingga Sabtu ini. – Bernama

No comments:

Post a Comment